Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Wednesday, September 9, 2009

Naqib belajar berniaga

Naqib meminta izin menunaikan solat Asar di surau. Saya berpesan agar dia cepat pulang. Sesudah itu dia pulang dengan riak wajah yang berseri-seri. Naqib memohon keizinan saya untuk membantu Encik Mazlan berniaga mercun. Rupa-rupanya sesudah solat tadi Naqib sempat merayau ke Batu Satu meninjau pasar Ramadan di situ. Encik Mazlan yang melihat kelibat Naqib melambai agar menghampirinya lalu menawarkan pekerjaan membantu dia menjual mercun dengan permit. Encik Mazlan ialah jiran kami di Taman Sijangkang Satu. Beliau pernah menghantar bayinya bernama Aina untuk diasuh di nurseri saya.
Saya menelefon suami yang keluar ke Shah Alam untuk bertanya pendapat beliau. Suami saya seorang yang suka berdikari dan dia juga mahu anak-anaknya sedemikian. Jadi Naqib tidak mendapat tentangan bahkan dia digalakkan untuk mendapatkan pengalaman berniaga. Petang ini Naqib mula membantu Encik Mazlan menjual mercun di Taman Perwira.
Semasa Ramadan baru bermula, Naqib pernah meminta izin hendak membantu di gerai menjual makanan, tetapi saya keberatan. Bukan tidak ada kenalan yang menjual makanan di pasar Ramadan tetapi saya fikir tidak perlu. Kelihatan rezeki Naqib sudah ditentukan Allah di pasar Ramadan juga, hanya yang tidak sama ialah barang jualannya.
Upah yang dijanjikan ialah RM13 - RM15 sehari bermula jam 4.30 petang - 7 malam. Rehat untuk berbuka puasa sehingga 8 malam. Kemudian sambung berjualan sehingga 9 malam. Sabtu dan Ahad pula, kerja lebih masa awal pagi sehingga jam 12 tengahari dan petang seperti biasa. Jangkamasa tidak lama sekitar 10 hari. Jika dikira upah asas dapatlah RM130 jika setiap hari Naqib membantu di gerai mercun itu.
Selesai kami sekeluarga berbuka puasa, Naqib balik membawa seplastik kuih-muih. Makcik yang menjual kuih di sebelah gerai mereka telah bersedekah kuih yang tidak habis dijual. Naqib diberi belanja makan sebanyak RM2 dan belanja ini dinaikkan menjadi RM3 mulai esok.
Saya berpesan agar Naqib berlaku jujur kepada majikannya dan pelanggan-pelanggan. Juga patuh pada majikan dan tidak meninggalkan solat. Melayan pelanggan dengan akhlak yang mulia. Ini sebagai medan untuk Naqib berhadapan dan mengenal pelbagai ragam manusia. Saya juga berpesan supaya upah yang diperolehi kelak dilekatkan pada sesuatu barang yang bernilai untuk kegunaannya dan sebagai kenang-kenangan. Lalu saya mengingatkan Naqib pada mp3 Al Quran yang diingininya atau telefon bimbit berperisian 30 juzuk Al Quran yang pernah dimintanya untuk membantu menghafaz Al Quran. Upahya akan diperolehi pada hujung minggu. Sekiranya dapat RM130, selebihnya yang tidak cukup bolehlah kami tolong tambahkan. Naqib tersenyum. Dia tidak berselera hendak makan nasi kerana kenyang minum air. Saya fikir dia hilang selera kerana masih rasa teruja dengan pengalaman berniaga mercun petang tadi.
Selepas solat Maghrib, Naqib menelefon Encik Mazlan untuk mengikut berjual mercun lagi, tetapi Encik Mazlan telah pergi ke gerainya. Sebenarnya Naqib telah berjanji untuk membantu beliau sehingga jam 9 malam mulai esok. Akhirnya Naqib pergi ke surau untuk solat Isyak dan solat tarawih.
Selamat bergelandang di medan niaga untuk anakanda Naqib. Selamat maju jaya dari mama dan abah serta adik-adik. Salam kasih sayang.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing