Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Sunday, September 6, 2009

Musibah di Ramadhan

Semalam, 15 Ramadhan 1430. Selesai menunaikan solat Asar, kami sekeluarga bergerak menuju Dengkil. Selepas Naqib menjalani temuduga minggu lepas, kami telah merancang untuk melihat madrasah tersebut dari dekat. Setelah terlajak beberapa meter dari simpang, akhirnya kami menemui madrasah yang dimaksudkan. Seorang lelaki muda berjubah putih dan berkopiah tinggi sedang menunggang motorsikal keluar dari kawasan madarasah. Melihat kedatangan kami, beliau berhenti lantas menghulurkan salam. Rupa-rupanya beliau, Ustaz Azmin, merupakan salah seorang tenaga pengajar yang terlibat dengan madrasah ini. Aku dan anak-anak perempuan tinggal di dalam kereta manakala suamiku, Naqib dan Hidayat (yang lengkap berjubah warna coklat, baru dibeli di Sri Petaling serta berserban - dia kelihatan lebih menonjol sebagai pelajar hafiz berbanding abangnya yang amat simple) melawat kompleks madrasah yang baru membangun itu. Di kiri kami ada sebuah khemah besar. Ustaz itu memberitahu khemah ini menyimpan segala peralatan khemah dan dulang-dulang yang digunakan semasa Ijtimak dulu. (Kami dimaklumkan kos Ijtimak itu dari segi pengurusan mencecah RM2juta, termasuk peralatan perkhemahan, makanan dll - kalau ada kesilapan harap dibetulkan. Ini anggaran sahaja).
Bangunan madrasah ini merupakan bangunan dua tingkat di mana tingkat atas merupakan tempat belajar dan menyimpan semua Al-Quran dan tingkat bawah dijadikan bilik pelajar. Aku dapat melihat besi merah katil dua tingkat pelajar yang tersusun di tepi tingkap. Beberapa tiang Roman terpacak di kiri madrasah. Sebuah surau akan didirikan tidak lama lagi dan pusat pengajian akan berpindah ke surau sepenuhnya. Manakala tempat belajar sekarang akan dijadikan asrama keseluruhannya. Perancangan jangka panjang juga akan menyaksikan asrama dan pusat pengajian hafizah turut dibangunkan di situ. Semoga Allah memudahkan dan memberkati usaha ini.
Kami dimaklumkan pelajar yang paling jauh adalah dari Brunei Darussalam. Tahun hadapan mungkin pelajar dari negara-negara jauh juga akan berada di sini. Masya Allah!
Ya Allah, permudahkanlah...permudahkanlah...permudahkanlah...

Kemudian kami meneruskan perjalanan ke TTDI Jaya, Shah Alam, untuk menziarahi keluarga angkat yang baru mendapat musibah. Rumah beliau telah terbakar pada pagi Khamis lepas. Ketika kami sampai, kelihatan tilam dan bantal serta pelbagai barangan rumah berlambak di garaj dan ruang tamu. Bahagian siling rumah tingkat bawah dan atas hitam kesan jelaga asap. Tidak ada apa yang tinggal di ruang dapur melainkan rangka kayu yang akan jatuh bila-bila masa. Sungguh sedih dan menginsafkan! Rumah ini tidak seperti rumah terbakar jika dilihat dari luar. Encik masih tenang, sikapnya seperti biasa. Dari mulut Encik, jiran-jiran amat mengambil berat keadaan mereka sekeluarga bahkan berebut-rebut mengajak menumpang ke rumah masing-masing. Alhamdulillah, warga TTDI Jaya terutama orang-orang lama memang terkenal dengan sikap mengambil berat perihal jiran-jiran. Petang ini Encik dijemput berbuka puasa di rumah Kak Ema.
Encik memang seorang yang tabah. Sepanjang kami mengenali beliau, pelbagai dugaan yang beliau telah lalui. Beliau menjaga arwah suaminya yang mengalami lumpuh seluruh badan dengan penuh kasih sayang selama beberapa tahun. Apabila suaminya kembali ke rahmatullah, rumah yang mereka diami selama ini dan dibayar setiap bulan ditarik oleh pihak bank. Rupa-rupanya sekian lama duit bayaran yang sepatutnya diserahkan ke bank masuk ke poket tuan rumah asal. Encik berusaha mengadakan solat hajat sepanjang Ramadhan agar Tuhan memudahkan urusan pembicaraan berkaitan hal ini. Pada masa yang sama Encik sekeluarga terpaksa berpindah ke rumah lain. Encik masih bertenang. Dan yang terbaru inilah musibahnya. Ubat kencing manis dan darah tinggi Encik pun basah terkena siraman air bomba. Mujur ada jiran yang prihatin membawa Encik ke klinik bagi mendapatkan ubat lain.
Semasa hendak beredar semalam, terdengar suara Encik bergetar menahan kepiluan. Aku tidak dapat membayangkan keadaan Encik pada hari kejadian. Tetapi menurut Encik, baru sekarang dia merasa agak tertekan dan memikirkan hal kebakaran ini. Sebelum ini dia disibukkan oleh ziarah sahabat-handai dan saudara-mara. Namun Encik masih tergelak kecil semasa bercerita. Dia memerhatikan sekeliling sambil bersuara, "Apa Encik nak bagi kamu?" Dalam keadaan dia ditimpa musibah, dia masih hendak memberi sesuatu sebagai buah tangan. Pelik Encik ini. Aku faham maksudnya, dia hendak memberi sesuatu kepada anak-anak kami. Memang sudah lama kami tidak menziarahi beliau. Kali terakhir ialah semasa kunjungan hari raya pada tahun lepas ketika kami sekeluarga menziarahi kawan-kawan lama di sini.
Inilah seorang insan di antara insan-insan yang kami kenali yang banyak menerima dugaan hidup.

...> Mampukan aku bersikap redha seperti Encik seandainya musibah yang sama menimpaku? Ya Allah, jadikanlah aku orang yang sabar dan redha atas takdirMu. Berilah aku takdir yang baik dan selamatkan aku dari takdir yang buruk.

...> Setiap ujian yang Allah beri adalah bersesuaian dengan kemampuan pada diri. Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menzalimi hamba-hambaNya. Ujian itu adalah peluang yang Allah beri untuk kita dapat merintih kepadaNya. Ujian itu juga tanda kasih sayang Allah. Dan selepas ujian pasti datang kemudahan. Insya Allah. Umpama awan gelap pasti berarak pergi dan muncullah sinar matahari menyuluh kehidupan. Iman dan Taqwa, cinta dan rindu pada Illahi.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing