Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Saturday, September 26, 2009

Kembara di Aidilfitri

Alhamdulillah, saya dan keluarga diizinkan Allah meraikan Syawal dengan penuh ketenangan dan keceriaan.  Kami mengunjungi saudara-mara yang sudah amat lama tidak dikunjungi.  Saya dan suami, HMA,  masing-masing bertemu dengan kawan-kawan lama yang terpisah semenjak habis persekolahan.  Lucu apabila ada diantara kawan-kawan HMA yang terpinga-pinga menerima kunjungan kami kerana tidak dapat mengenali wajah HMA yang telah jauh berubah.  Kata mereka, dulu suami saya sebesar kelingking dan tinggi mengunjai.  Cuma lawaknya yang tidak berubah bahkan semakin 'melampau' sekarang.
Saya sendiri yang lebih suka mendiamkan diri sekian lama mengubah pendirian pada Syawal ini.  Saya hubungi kawan sekolah yang kemudiannya dia menyusun satu majlis pertemuan dengan beberapa orang kawan-kawan lain di rumah salah seorang kawan di Bukit Tunggal.  Terima kasih kepada Surina Shaari yang telah menyiapkan hidangan lazat nasi Bukhari dan pelbagai menu lain.  Terima kasih juga tentunya kepada saudara Hisyam Yem yang telah memanggil beberapa orang kawan yang tidak pernah saya temui sehabis persekolahan seperti Sharizam Sharon, Zaki (Iyeeh), Sani dan Maria Md Dah.  Hisyam bekerja sendiri, Sharizam bakal memasuki peralihan tentera, Zaki berniaga sendiri, Sani masuk bidang pendidikan dan Maria seorang surirumah dengan 3 cahayamata.  Masing-masing datang bersama keluarga.  Beberapa kawan yang lain saya kunjungi berasingan seperti Dr. Mazlah yang kali terakhir bertemu sekitar 3 tahun lepas dan Cikgu Siti Rohani Mustaffa yang semakin berisi dan masih periang seperti biasa.
Pada Syawal keempat, kami bergerak ke Batu Pahat untuk menziarahi seorang saudara pupu HMA yang telah kehilangan suami pada malam hari raya.  Semua adik-beradik ipar dan ibu mertua turut serta turun ke Batu Pahat di Tongkang Pecah untuk berziarah.  Hanya bapa mertua Hj Mat Arbak yang tidak dapat bersama kerana menjaga ternakan lembu di belakang rumah.  Lembu-lembu ini agak aktif sehingga mampu melompati pagar kandang.  Kelmarin sekembali kami dari menziarahi bisan mertua, kelihatan lembu-lembu itu berkeliaran di belakang rumah Pak Usu Rahmat tanpa disedari oleh sesiapa.  Sementara saya dapat melepaskan penat, kedengaran suara mengarahkan anak cucu lelaki bersama membantu atuk mereka mengejar lembu ke kandang semula.  Lucu juga mengenangkan sekiranya lembu-lembu itu juga berkeinginan berjalan raya di Syawal ini.
Di rumah Idah, sepupu HMA, suasana pilu masih menyelubungi keluarga tersebut.  Kami dimaklumkan suami Idah, Ismail, baru lima tahun bersara dari tentera.  Hanya beliau seorang tunggak keluarga.  Pemergian beliau amat mendadak tanpa sebarang tanda dan pesan.  Kami hanya dapat menumpang pilu, bak kata pepatah berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.  Namun wajah Idah tetap tenang dan tabah menyambut kedatangan tetamu yang tidak putus-putus berziarah.
Kemudian kami ke rumah Tuk Misran pula.  Tuk Misran semakin uzur kerana penyakit gout yang menyebabkan kedua-dua lututnya bengkak dan menyebabkan beliau sukar berjalan walaupun bertongkat.  Untuk ke bilik air, Tuk Misran menggunakan bangku kecil yang dipasang roda. Selebihnya Tuk Misran menghabiskan masa di tilam nipis.  Semasa kami menjenguk, Tuk Misran sedang bersandar sambil berzikir dengan tasbih di jari.  Wajah Tuk Misran ceria menerima kedatangan kami.  Hidayat yang berserban dan berjubah menarik perhatian Tuk Misran.  Telapak tangan Hidayat dibelek-belek seolah-olah mencari sesuatu yang tersirat.    Telapak tangan Muhammad Naqib juga dibelek-belek oleh Tuk Misran. Alhamdulillah, semoga firasat Tuk Misran menjadi doa yang diberkati di sisi Allah Taala.  Kemudian, seperti selalu, HMA memohon kepada Tuk Misran untuk memicit bahagian lutut yang sakit di titik tumpuan.  Mereka bersama-sama membaca ayat-ayat suci al Quran dan berdoa, mudah-mudahan penyakit yang bertumpu keluar dengan izin Allah.  Harapan Tuk Misran agar dia dapat bergerak semula seperti biasa dan paling penting ialah dapat mengerjakan ibadah solat dengan sempurna.  Kata Tuk Misran, dia tidak mahu dirinya menjadi beban menyusahkan keluarga.  Tuk Misran juga sentiasa menekankan kemudahan untuk menunaikan solat.  Saya menyimpan rasa kagum kepada semangat Tuk Misran dan ketelitiannya menjaga solat.
Di ruang Tuk Misran berehat, terdapat sebuah akuarium besar yang menempatkan seekor ikan Toman bengkok.  Ikan ini benar-benar menarik perhatian saya kerana keadaan badannya yang pelik.  Ia bengkok seperti bentuk siku kita.  Namun saya tidak dapat merakamkan gambar ikan ini kerana kamera telah kehabisan bateri.
Seterusnya kami bermalam di rumah kakak ipar, Kak Aza di Taman Bilal.  Malam di rumah Kak Aza dipenuhi dengan acara BBQ pelbagai makanan seperti udang, sotong, ikan, ayam dan daging kambing. Saya turut tumpang semangkuk menemani HMA menjadi tukang kipas dan berperang dengan asap yang memedihkan mata.  Menjelang 1pagi barulah suasana ceria beransur sepi.  Masing-masing mencari ruang untuk merebahkan badan dan melelapkan mata.
Satu kenangan yang tidak dapat dilupakan ialah apabila kami sesat selama sejam di sekitar Taman Seri Pulai, Seremban.  Perkhidmatan Celcom terhenti menyebabkan kami tidak dapat membuat panggilan keluar untuk bertanya alamat rumah Abang Lebar.  Kami singgah di telefon awam juga tidak berjaya membuat panggilan.  Setelah membuat keputusan untuk beredar pulang ke Sijangkang, dirasakan laluan ke rumah Abang Lebar semakin jelas dan akhirnya ternampak kereta abah Hj Muhammad di hadapan rumah.  Alhamdulillah, dapat juga kami singgah ziarah di rumah Abang Lebar, anak tiri mak.  Sebentar cuma, selesai HMA dan anak-anak menjamah hidangan (saya berpuasa 6 hari ke 3), kami bersalam-salaman dan memulakan perjalanan pulang.
Kenangan kedua yang tidak mungkin dilupakan juga ialah tayar belakang kiri pecah di daerah Labu (kami menggunakan laluan lama untuk mengelakkan kesesakan jalanraya).  Waktu sudah menghampiri Maghrib.  Setelah mengeluarkan semua muatan di bonet kereta, HMA cuba menahan beberapa buah motor untuk menumpang ke kedai tayar berhampiran tetapi tidak ada yang sudi berhenti.  Ada seorang pemuda yang berhenti sekadar menoleh kemudian meneruskan perjalanan semula.
Semasa HMA membuka tayar, tiba-tiba muncul sebuah kereta sport di belakang kereta kami.  Seorang pemuda dengan seluar jeans koyak di lutut datang bertanya keadaan kami.  Syukur alhamdulillah, di saat-saat genting ini Khairul muncul menghulurkan pertolongan.  Dia membawa HMA ke kedai tayar berdekatan untuk membeli tayar baru kerana tayar sedia ada telah rosak teruk.  Sekali lagi saya merasa kagum. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih yang telah mencampakkan rasa kasihan dan ambil berat di hati hambaNya ini untuk membantu kami.  Khairul baru tamat belajar di IPTS dan sedang membuat permohonan ke POLIS.  Orangnya kacak dan ranggi, penampilannya menggambarkan latar belakang kelas atasan. Namun di sebalik paras dan penampilan itu ada sekeping hati yang ikhlas dan belas kepada orang yang kesusahan.  Terima kasih yang tidak terhingga kepada Khairul.  Sehingga kami beredar dari situ, Khairul masih berdiri seolah-olah hendak memastikan perjalanan kami berjalan lancar.

Menghampiri Sepang, kami singgah untuk menunaikan solat Jamak Taqdim.  Perjalanan diteruskan sehingga sampai ke daerah Telok Panglima Garang.  Kami singgah untuk makan malam di kedai makan.  Saya memilih bihun sup sebagai juadah berbuka puasa.  Akhirnya kami sampai ke rumah dengan selamat dan penuh rasa lega.  Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi yang memelihara kami di sepanjang perjalanan dan memberi bantuan di waktu kami mengalami kesulitan.  Terima kasih wahai Tuhanku...
HMA dan anak-anak memulakan operasi membersihkan ruang luar rumah manakala saya bersendirian membersihkan dalam rumah.  Mata saya menjadi gatal dan kemerahan kerana habuk yang berterbangan.  Ikah Koi masih ada sebanyak enam ekor di dalam kolam yang telah susut airnya sehingga tinggal sekadar 5 inci sahaja, berkejar-kejaran di celah-celah beberapa ekor katak.  Ternyata lasak sungguh ikan ini.  Saya mengarahkan anak-anak membuka air paip untuk memenuhkan kolam semula.  Si Tompok juga datang berlari-lari untuk meminta makanan.  Malangnya tiada makanan mahupun friskies untuknya kerana telah habis pada hari pulang ke kampung tempohari.  Saya minta Hidayat mengambil sejemput ikan bilis untuk mengalas perut Si Tompok.
Jiran sebelah-menyebelah masih belum pulang dari kampung.  Syukur sekali lagi ke hadrat Allah Taala kerana tiada sebarang perkara buruk berlaku di rumah dan taman kami walaupun majoriti penduduk taman mengosongkan rumah masing-masing untuk pulang ke kampung halaman.
Lampu kelip-kelip pun dipasang.  Bermula sekali lagi suasana ceria Aidilfitri di Taman Sijangkang Permai oleh penduduk taman yang baru pulang dari kampung.
Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing