Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Sunday, September 6, 2009

Di mana Wak sekarang?

Menulis tentang Encik membuatkan aku teringat kepada seorang lagi insan yang padaku memang pelik, pelik dan pelik. Beliau berumur sekitar akhir 40an atau awal 50an. Bagaimana suamiku berjumpa dengan beliau, tidak aku maklum. Dia pernah menumpang di pejabat kami. Dia pernah membantu aku dan mak membungkus makanan semasa kami terlibat dalam katering kecil-kecilan dulu. Akhir sekali mak akan ketepikan sebungkus nasi untuk dia.
Mak memanggilnya 'Wak' walaupun Wak tidak ada darah Jawa. Jadi kami semua terikut-ikut dengan panggilan ini. Dia amat menyenangi mak yang dipanggilnya 'Mak Aji'. Sikap mak yang peramah dan tidak kekok membuatkan dia rajin membantu (Aku rasa Wak anti perempuan. Kalau di laluannya ada wanita, dia akan melencong jauh dari laluan itu. Apabila mendengar Wak berbual dengan mak, banyak komen provokasi dan negatif diberikan oleh Wak kepada wanita. Aku selalu bengang dengan komen-komen Wak ini. Tapi dengan mak, Wak kalah. Kalau nampak Mak, dia yang akan datang mendapatkan). Macam-macam rahsia yang mak dapat korek berkenaan dirinya. Yang paling mengesankan ialah apabila Wak menyerahkan kertas wasiat kepada kami. Kami dianggap sebagai keluarganya dan semua hartanya diserahkan kepada kami (sekiranya dia belum beristeri). Suamiku ketawa besar membaca wasiat itu. Suamiku selalu mengutuk Wak sama ada serius atau bergurau, tetapi tidak memberi bekas kepada hati Wak. Bahkan Wak rasa lebih rapat dengan kami. Sebab itulah Wak sanggup menulis surat wasiat tersebut. Aku menyimpan wasiat itu di dalam fail keluarga sebagai kenang-kenangan.
Apabila kami berpindah ke Sijangkang 4 tahun lepas, Wak tidak ikut serta. Namun beberapa kali dia muncul untuk menumpangkan barang peribadi di pejabat suamiku. Sehingga kini Wak terus menghilangkan diri. Khabar terakhir mengatakan Wak berada di Perak (tidak dapat dipastikan). Khabar itu juga memberitahu Wak semakin kurus dan kelihatan tidak sihat. Kami yang mendengar hanya dapat meluahkan simpati. Suamiku berpesan kepada kawan-kawan lamanya di TTDI Jaya agar memaklumkan kepada kami sekiranya Wak muncul lagi.
Apa yang pelik pada Wak?
Kata mak, Wak seorang wali sebab Wak suka berpuasa selang sehari. Cerita Wak berkisar hukum-hakam dalam Islam dan komplen berjela tentang perangai wanita yang Wak nampak. Masalahnya Wak tumpukan pada wanita-wanita lincah di luar sana, tapi Wak tak sentuh langsung wanita-wanita solehah bertudung litup yang sentiasa menjaga pandangan matanya. Aku selalu rasa Wak tak seimbang melihat kewujudan wanita di dunia ini. Wak bekerja tetapi tidak pernah kekal lama. Sikap Wak yang cepat meradang mungkin menyebabkan dia tidak betah bertahan lama di satu-satu tempat. Wak suka memberi salam penuh, "Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh." Apabila berjalan, dia seperti sedang berada di dalam dunianya sendiri. Dia sering bercakap-cakap seorang diri. Apabila kita memberi salam, dia akan memberi salam semula dengan lengkap. Rasanya dia jarang menjawab salam kerana lebih kerap memberi salam. Sikap Wak ini kadang-kadang menimbulkan kelucuan.
Wak belum berumahtangga. Bermacam-macam alasan yang diberi Wak semasa mak mengorek rahsia Wak yang bertahan solo. Rupa-rupanya ada juga yang Wak minat, seorang artis yang sehingga kini juga masih solo (aku dan mak selalu pulang paku buah keras pada Wak semenjak dia membocorkan rahsia hatinya ini. Kenapa Wak pilih artis? Almaklum artis macamana kehidupannya? Kami cadangkan Wak pilih anak dara tua atau janda tapi Wak tak mahu. Ada citarasa tersendiri juga). Bila difikir-fikirkan, sepadan juga. Tapi Wak tak boleh teruskan sebab Wak tak ada pekerjaan tetap walaupun ada kelulusan yang baik. Akhir sekali sebelum kami berpindah, Wak minta mak risik seorang ustazah yang masih muda belia. tapi tak menjadi juga.
Wak ada adik-beradik. Tetapi kalau berdasarkan kenyataan Wak semata, seolah-olah Wak dibuang adik-beradiknya. Biasanya dalam hal sebegini, kami mengambil sikap tengah kerana kami tidak mahu berat sebelah mendengar dari satu pihak sahaja. Kalau dia bercerita dengan mak, aku memasang telinga sahaja. Sesekali aku menyampuk memberi komen sekiranya aku tidak suka kepada pendapat dia (sebenarnya mak pun kena tempias komen-komen berjela Wak. Mak tak ambil hati tapi aku selalu menyimpan geram yang kadang-kadang terkeluar juga di mulut. Aku tak pernah dia komplen depan-depan, belakang tak tahu pula).
Kenangan yang paling tidak dapat aku lupakan ialah ketika dia mengajak kami melihat persembahan Samrah di KL. Kami dikelilingi oleh lelaki-lelaki keturunan Arab yang kacak-kacak belaka. Mungkin hanya kami sekeluarga sahaja yang berwajah Melayu. Wak sebenarnya mirip Arab juga. Aku seronok melihat persembahan tetapi kami terpaksa pulang cepat. Di waktu lain, Wak mengajak kami memenuhi jemputan ke rumah kenalannya yang mengadakan majlis (tak ingat majlis apa). Aku hanya mampu tersipu-sipu apabila menyedari sedang dikelilingi oleh kaum wanita berketurunan Arab. Begitu indah wajah mereka baik yang muda mahupun yang telah berumur. Kanak-kanak di situ juga teramat comel dan mulus kulitnya. Mereka berpakaian serba hitam tetapi wajah mereka langsung tidak pudar oleh warna hitam itu bahkan semakin menyerlah. Terasa kecilnya aku di situ...namun aku senang hati kerana mereka rajin menghadiahi aku senyuman manis.
Di mana Wak sekarang?... Wak tidak mempunyai telefon bimbit. Kami hanya boleh menerima panggilan beliau sahaja. Sudah sekitar 3 tahun Wak tidak muncul dan tidak menelefon. Aku dan keluarga mengharapkan beliau sihat dan sentiasa di dalam hidayah Allah walau di mana juga berada. Kadang-kadang apabila kita mengingati seseorang, dia juga mengingati kita. Mungkinkah Aidilfitri ini Wak akan muncul di hadapan rumah kami... Selamat datang, Wak.

No comments:

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing