Hadith


Beramal dan Menyampaikan


Random Hadith Widget

Bismillah

Bismillah

Sunday, July 12, 2009

Ijtimak

Saya dan anak-anak sampai di kawasan kuarters KLIA jam 1230 tengahari. Saya menyusur perlahan tak tau nak ke mana atau nak parkir di mana. Pelbagai jenis kenderaan begitu banyak berderet di tepi sepanjang jalan di mana-mana. Van, bas-bas sekolah dan bas eksekutif juga mengambil tempat di tepi jalan dan kawasan parkir. Ada juga lori-lori parkir di tepi jalan menjual buah mangga dan air mineral. Polis-polis trafik kelihatan mengawasi suasana. Lelaki-lelaki berjubah, berkurta, berkopiah, berserban dan bercelak mata bertaburan di merata kawasan. Tiada wanita! Kelibat kanak-kanak juga tiada.
Setelah menjangkakan kami telah hampir dengan pusat tumpuan, saya pun menyelitkan kereta comel ini di tepi jalan, strategik fikir saya. 15 minit kami berdiri di tepi kereta, tercangak-cangak dan saya terus menimbang-nimbang sama ada akan bergerak ke mana-mana atau menunggu di kereta sahaja. Saya rasa cuak. Puas melingaskan mata sejauh pandangan, tak ada kelibat wanita baik bertudung mahupun berpurdah. Kalau ada pun yang bertudung, adalah lelaki yang meletakkan kain serban di atas kepala, dari kejauhan seperti wanita bertudung rupanya.
Naqib menawarkan diri bertanya kepada seorang lelaki berwajah Melayu berkurta kelabu kebiruan yang sejak tadi berdiri tidak jauh dari kami seperti sedang menunggu seseorang, sesekali bertembung pandang dengannya, mungkin hairan dengan kewujudan saya di situ. Naqib cuba membantu saya membuat keputusan, daripada jawapan lelaki itu tentunya. Tumpuan kami ialah ke khemah-khemah besar itu. Apa yang ada di situ? Malangnya jawapan sebagaimana yang diduga, tiada wanita dibenarkan ke situ dan tiada seorang wanita pun yang ada di situ.
Apa tujuan saya ke ijtimak ini?
Saya hendak menunaikan hajat si anak, Naqib, yang mana ustaz-ustaznya terlibat dengan Ijtimak ini, sedangkan dia tidak dibenarkan turut serta melainkan dengan ibu bapa, kerana prasyarat ialah umur 15 tahun ke atas sahaja yang dibenarkan, dikhuatiri hilang ditelan perkumpulan yang ratusan ribu itu. Suami saya tidak mampu turut serta dikekang tuntutan kerja, terpaksa hadir untuk memantau testing aircond di kilang di Puncak Alam. Kata Naqib lagi, perhimpunan begini akan berlaku lagi di Malaysia pada 20 tahun akan datang. Jawab saya, baguslah... masa tu dia bukan saja dah cukup dewasa bahkan boleh bawa anaknya juga, mungkin. Riak wajahnya menunjukkan kekecewaan, tambahan pula Mukhlis, kawannya yang telah hafiz tu tak semena-mena menalifonnya sebentar tadi mengabarkan dia telah sampai ke Ijtimak dengan bapanya. Kata Naqib, dia mendengar bunyi suara ramai melatari suara Mukhlis. Harqil yang agak nakal dan lucu tu pula, awal-awal dah mengabarkan bahawa dia akan membawa beberapa orang kawannya ke Ijtimak agar mendapat sentuhan dakwah di situ. Jadi, tiada pilihan, sementelah rasa ingin tahu yang membuak di dada, saya akhirnya berada di tempat ini, sekarang tenggelam bungkam dalam perasaan terasing berbaur dengan segan silu.
Setelah memantapkan fikiran dan yakin dengan keputusan yang dibuat, alang-alang dah berada di sini, bukan dekat nak datang... saya heret Ain dan Nisa berjalan menyusur tepi gerai-gerai. Naqib dan Hidayat saya izinkan beredar untuk mencari khemah jualan Ustaz Umar Abdul Aziz, ustaz muda yang mengendalikan madrasah di Shah Alam. Alangkah senangnya hati saya apabila menemui beberapa orang wanita yang berjualan di gerai-gerai. Kemudian, saya bertembung pula dengan satu keluarga yang lengkap dengan nenek, ibu dan anak perempuannya. Saya mengekori perlahan seolah-olah sebahagian dari mereka. Tak berani saya menebarkan pandangan lagi, hanya memerhatikan barang-barang jualan dari gerai ke gerai. Semua mata di situ milik lelaki, bercelak hitam, berbagai bangsa, bermacam warna kulit, berjanggut dan berambut panjang mencecah kolar baju. Ada juga yang mewarnakan janggutnya dengan inai merah. Sedikit sebanyak saya kecut. Namun cepat-cepat saya bertenang dan menaruh baik sangka. Saya faham tempat ini bukan tempat yang sepatutnya saya dan anak-anak berada.
Gerai pertama yang menarik hati saya ialah gerai menjual pelbagai jenis ketayap dan songkok. Saya telefon suami bertanyakan saiz songkoknya, setelah membelek-belek dan memilih, saya beli songkok berwarna hijau pucuk pisang bertekat benang emas, berharga RM18 sebagai cenderahati. Kemudian, saya beli marshmallow Halal (seperti yang tertulis pada banner), diikuti dengan minyak wangi White Musk kegemaran saya dua botol, RM10. Selain itu, saya beli makanan ringan untuk dikunyah nanti. Pelbagai barangan yang lain semuanya untuk lelaki di Ijtimak seperti berbagai warna jubah dan kurta, pelbagai bentuk tasbih, pelbagai batu cincin dan cincin siap, barangan kegunaan harian seperti kayu sugi, selipar, tikar lipat, juga makanan kesihatan (madu, pati habbatus sauda, tungku moden dll). Dua ekor dhab termenung di dalam sangkar, memikirkan dirinya bakal menjadi bahan utama minyak dhab.
Di seberang jalan, khemah-khemah besar berwarna putih, teramat besar, dipenuhi dengan ribuan manusia. Saya cuba menajamkan pandangan tetapi tidak jelas. Tidak mungkin saya akan ke situ, walaupun saya sangat teringin nak melihat lebih dekat. Kalaulah suami saya ada... Akhirnya saya andaikan mereka sedang dalam perbincangan atau apa saja. Setiap khemah diletakkan papan tanda untuk setiap negeri dan negara yang diwakili. Memang hebat, apabila umat Islam sedunia berkumpul di Malaysia.
Saya tidak arif tentang Tabligh. Tiada seorang pun ahli keluarga dari mana-mana pihak yang terlibat dengan Tabligh, baik yang dekat mahupun yang bau-bau bacang. Kakak ipar saya tidak sampai jodoh bersuamikan seorang Tabligh kerana tidak beroleh persetujuan keluarga, dan sehingga sekarang dia masih bersendirian, terus menutup hatinya untuk berumahtangga, sesiapa yang cuba-cuba buka cerita pasal jodoh atau nak paduk-padukkan dia akan dilesingnya.
Di taman perumahan, selalu juga beberapa lelaki Tabligh datang mengajak anggota keluarga lelaki ke surau berhampiran. Di kawasan kampung berdekatan pula, saya selalu melihat lelaki-lelaki berjubah berketurunan Kampuchea pergi balik masjid khususnya pada hari Jumaat. Tak pasti benar apakah mereka ni Tabligh atau bukan... Saya berfikir tak ada salahnya saya mengambil tahu hal Ijtimak ini sebagai sebahagian dari kehidupan yang ditempuh oleh Naqib sekarang atau akan datang. Saya nak kenal tak banyak sedikit apakah dan siapakah...Hasilnya, sekembali kami, saya cari akses Ijtimak di internet dan saya temui banyak perkara. Tanpa disangka-sangka suami saya turut menaruh minat dan meneruskan pencarian dan menemui blog kawan lama yang telah terputus hubungan, Datuk Hj Salahuddin.
Satu kisah yang terkesan di hati saya, mengenai pemuda Tabligh yang keluar ke jalan Allah di negara asing, tapi dek dah lama saya tak ingat di buku atau majalah atau akhbar apa, saya ulang cerita kepada Naqib secara umum sahaja. Pemuda yang berjuang dengan ikhlas, akhirnya maut menjemput tatkala masih di negara orang. Namun wasiat beliau agar dikebumikan di mana dia menemui Tuhannya, disanggah oleh si bapa yang enggan membiarkan jasad anaknya bersatu dengan tanah asing. Bapa dengan segala upaya datang menjemput dari tanahair. Akhirnya penggalian pusara yang masih merah dilakukan semula atas desakan bapa. Waktu tanah mula dibongkar, tiba-tiba muncul bauan harum yang tidak pernah dihidu oleh hidung manusia, dari celah timbunan tanah pusara yang merah. Menyebabkan si bapa terpana bersama airmata dan akhirnya akur pada kebenaran yang diperjuangkan oleh si anak serta wasiat yang wajib dipenuhi itu.
Setiap usaha di jalan Allah demi keredhaanNya serta menegakkan kebenaran pasti mendapat perhatianNya, insyaAllah.
Kami melangkah pulang sebaik azan Zohor berkumandang. Sekali lagi gerombolan lelaki berduyun-duyun bergerak ke satu arah. 5 buah lori tangki air Syabas bergerak perlahan menuju ke kawasan tumpuan. Gerai-gerai beransur lengang.


3 comments:

melayu kampong said...

terlibat atau tidak - sememangnya telah terlibat bila seseorang itu Islam samada lelaki, perempuan, kanak-kanak atau dewasa/ tua; namun syariat Islam di peraktiskan.

semoga lahirlah dari diri, keluarga, keturunan puan, suami dai-dai yang memelihara Islam di diri, keluarga, keturunan dan ummat seluruh alam sehingga qiamat.

'... semoga tercapailah hasrat naqib dan cerita haruman itu di realisasikan oleh Maha Pencipta.. '

Ahliahnizam said...

Masya Allah .... Semoga Allah pilih Naqib untuk sama-sama teruskan usaha Nabi saw, Insya-Allah :)

http://www.ahliahnizam.blogspot.com
ahliahnizam@yahoo.com

NaqHuHiNes said...

Melayu kampong & Ahliahnizam, mudah-mudahan doa kalian dikabulkan Allah SWT. Amin.

Search This Blog

Blog Archive

Rakan Blog

Pakaian Muslimah

cinta hingga Firdaus

Lilypie Angel and Memorial tickers

Terima kasih :)

Follow by Email

utamakan Bahasa Melayu

utamakan Bahasa Melayu

Pantai Lumut

Pantai Lumut

Pantai Mersing

Pantai Mersing